Tuesday, October 28, 2008

SUBUH YANG MUSYKIL

Dalam Subuh yang musykil
Aku merenung telapak tanganku
Melihat nikmat kurniaanNYA sejak dilahirkan
Yang sering dikhianati lewat umurku ini
Hanya kerana ingin menuruti
Sekeping hati yang berbolak-balik
Antara iman dan ingkar

Aku mengutuk diri sendiri
Yang lebih terpesona
Nikmat sementara penuh dosa
Walhal akal ini terlalu arif
DIA menciptaku bukannya sia-sia
Tidak juga untuk mencontohi anjing
Yang jika tidak dimakan najis
Pasti akan dihidu jua baunya
Kala ghairah nafsu berkobar

Alangkah malunya aku
Bila neraca diri menunjukkan
Setiap sisi tubuh fana ini
Pernah menderhakaimu
Namun tidak pula diriMU
Berpaling barang sesaat
Dari merenung mataku
Yang telah kering kolam airnya
Menangisi dosa-dosa kecil dan besar

Dalam Subuh yang musykil
Buat pertama kalinya
Hujan taubat mencurah deras
Bergemuruh dada menahan sebak
Sedang dahi terpaku erat
Atas sejadah penyesalan
Kerana takut pada upaya diri
Akan adakah peluang bagiku
Menjamah wajahMu
Wahai Allah Tuhanku

Monday, September 15, 2008

KU TERCIPTA UNTUKMU

Ada satu lagu yang sering berkumandang dalam opis aku. Lagu nyanyian kumpulan Ungu. Muziknya mengasyikkan, liriknya pun boleh tahan melankoliknya. Cuma, rasa cinta yang berkumandang tu lebih ditujukan kepada manusia. Aku pun memula layan gak dengar lagu ni....tapi lama-lama rasa terganggu bila lirik yang mengharapkan kasih sayang manusia tu berputar-putar dalam kepala otak ni. So, nak menangani masalah ni supaya aku tak dibuai khayalan syaitan, aku tukar liriknya kepada memuji Allah. Baru la leh layan sambil teringatkan si Dia yang tercinta. Cantik!

Menatap indahnya ciptaanmu Ya Allah
Membuatku gembira dan bersyukur
Mengerti akan hadirnya cintamu Ya Allah
Di saat kau utus bayu menyapaku

Banyak kata yang tak mampu kuungkapkan
Kepada dirimu

Aku ingin Engkau selalu
Hadir dan temani aku
Disetiap langkah
Ku meyakinimu
Ku tercipta untukmu
Wahai Tuhanku

Meski waktu akan mampu
Memanggil seluruh ragaku
Kuyakin dan tahu
Kau selalu di sisiku
Yang mencintaimu
Sepanjang hidupku

Tuesday, September 2, 2008

PINJAMKAN AKU DUNIA

Pinjamkan aku dunia
Yang berselirat lebuhraya dosa
Juga bersuluh bintang zuhud
Dambaan jiwa
Moga mindaku
Tahu membezakan
Antara aku dan keakuan
Dan tidur nanti
Aku bermimpi
Zikir kesayuan
Nyanyian bibirmu
Penuh khusyuk
Bersulam keyakinan
Aku selamat di sana

MERAH HATIKU

Manusia yang bercinta selalu alpa dalam perhubungan yang dibina. Sering menganggap diri sedang berada di puncak dunia sehingga masing-masing menjadi para penyair yang bergelendangan di istana pasir. Kehidupan buat mereka terlalu asyik dengan deruan ombak kenangan yang sering memukul pantai rindu. Mereka yang lalai dalam arus ini, pasti akan berhadapan dengan dua situasi; lemas dek tenggelam ke dasarnya atau terapung di permukaan tanpa haluan. Walhal, cukup sekadar berpijak di daratan yang terbentang luas kerana sebarang kemungkinan lebih mudah ditangani.

Aku pun menanti
Di setiap perhentian lesu
Gamitanmu
Malah ombak pun telah kering
Pasir pelabuhan jua
Hangus terbakar
Hanya semata-mata
Untuk mendodoimu
Dengan singkapan kasih wanita
Dan palitan cinta lelaki
Yang sesungguhnya
Terlalu sempurna
Untuk kau perolehi
Di kota batu ini
Persinggahanmu sebenarnya

AKUKAH INI?

Akukah
Yang berjalan tika ini
Di sisiku budak lelaki comot
Sedang membonceng adiknya
Pulang sekolah dalam kelesusan
Sambil matanya melihat
Betapa lazatnya aku
Menjamah burger McD

Dan aku seboleh mungkin
Melarikan hidangan segera ini
Dari pandangannya
Biar deria matanya tak sempat
Mengutus mesej keserebrum
Agar nafsunya terbabas
Dalam menafsir keenakan
Malah aku pun tak akan segan
Melihat adiknya kecur liur

Aku pun menghabiskan santapanku
Sambil diekori mata kuyu adiknya
Raut wajah bisu abangnya
Juga nyanyian 'kreok' basikal buruk mereka
Hanya untuk menyedari
Enaknya burger yang kurasa tadi
Hilang sekelip mata
Sebaik sahaja kuhirup
Air masak bekalanku
Hmmm.....akukah ini?

Wednesday, August 20, 2008

DESTINASI KITA?

Sajak ni aku reka masa tengah lepak sensorang kat lrt Masjid Jamek. Aku karang benda alah ni sebab bosan giler takde keje, lrt lak lepas maghrib mesti lambat semacam jer. Apa pun, aku ucapkan selamat membacanya....kalau-kalau ada terkena kat batang hidung sesapa, harap 'maintain' ok :P

DESTINASI KITA?

Kita bertemu
Di persimpangan kehidupan tak terduga
Tika senja sedang merangkak pulang
Namun
Destinasi dunia telah memisahkan kita
Meski keinginan bersamamu
Tinggi melangit hasratnya

Destinasi ini jualah
Kembali menemukan kita
Sedang bayu masa berlarian
Hujan rindu pun membasahi laut kenangan
Lantas denai ke hatimu bertapak
Walau kesedaran memulakan sesuatu
Amat sukar persis katamu

Puaslah hati yang berdebaran
Sedang ironinya kehidupan baru sahaja menipu
Biarlah disindir dalam tawa
Asal saja Dia mengizinkan
Kerana akur diri ibarat awan
Yang hanya mampu meneduhkan
Apabila ditiup bayu
Beraraklah ia penuh rela

Destinasi kita?
Mungkinkah sehaluan?

Thursday, July 31, 2008

DO YOU MIND? (1)

"Kenapa ye?" Michelle mengulangi soalan yang sama.

Sekilas dia merenungku dalam, sambil jari-jemarinya menyela rambut yang panjang mengurai ke belakang leher. Segera aku merenung ke hadapan. Platform menunggu lrt di stesen KL Sentral semakin dipenuhi manusia. Barangkali dek hujan yang masih bernyanyi, perjalanan lrt menjadi agak perlahan dari satu stesen ke stesen berikutnya lantas mengakibatkan bilangan orang yang menunggu semakin bertambah setiap minit yang berlalu.

Kebetulan sebenarnya aku bertemu dan berbual dengan Michelle, gadis kacukan Cina-Australia ini. Dan kebetulan juga sebenarnya apabila dia mendengar aku 'mendoakan' saudara Muslim bersebelahanku yang bersin berkali-kali, kesejukan dibasahi hujan. Tertarik mendengar bacaan tersebut dilafazkan barangkali, Michelle lantas bertanyakan sebabnya.

Aku memandang Michelle yang duduk bersebelahanku. Dia tersenyum. Aku turut tersenyum.

"Sebenarnya, itulah yang diajarkan oleh Prophet Muhammad S.A.W. Apabila saudara Muslim yang lain mendengar saudaranya bersin dan mengucapkan Alhamdulillah....Segala Puji bagi Allah...Tuhan kami, maka menjadi satu kewajipan pada kami yang mendengar untuk mendoakannya...dan dia pula, kalau mendengar kami mendoakannya, perlu mendoakan kami juga."

"But, i tak dengar pun dia cakap apa2....."

"Itulah, bukan semua Muslim tahu dan sedar tentang perkara ini....."

"Maksudnya?"

"Maksudnya....bukan semua Muslim hari ini benar2 memahami agama Islam, ada yang hanya Muslim pada nama sahaja, ada yang memilih-milih untuk mempraktikkannya, malah ada yang hanya Muslim pada masa-masa tertentu sahaja...sama seperti apa yang berlaku pada penganut Kristian seperti kamu Michelle...."

Michelle membuntangkan matanya. Dia berhenti mengunyah gula-gula getah lantas memandangku dengan raut wajah seakan-akan tersinggung dengan kenyataan yang aku lontarkan tadi. Aduh.....salah ke statement yang aku luahkan tadi. Kami berdua diam....lama.

Suasana platform semakin dipenuhi manusia, hingar-bingar jelas kedengaran namun kami berdua masih membisu. Kulihat Michelle menguis telapak sepatu kanannya dengan hujung sepatu kiri. Sedikit kasar kelakuannya, seperti membersihkan sesuatu yang sukar untuk ditanggalkan. Atau barangkali sedang memarahiku dalam diam kerana tidak semena-mena menyamakan dia dengan situasi yang melanda umat Islam hari ini.

Walhal, aku tak sedikit pun berniat sedemikian. Mana mungkin aku sanggup mencalari hati gadis yang baru sahaja tadi bangun memberikan tempat duduknya buat seorang makcik "muslimah" yang penat berdiri. Errr, malu juga dibuatnya, sebab aku yang sepatutnya bertindak sedemikian....tapi tula, barangkali sibuk agaknya memerhatikan ketibaan tren menyebabkan aku tidak perasan tuntutan ibadah umum yang sedang menanti.

Terpukul dengan situasi, segera kutawarkan tempat dudukku kepadanya. Michelle menolak..dan ketika itulah dia mendengar doa yang aku baca. Michelle, seperti gadis Cina yang lain, kelihatan ranggi dengan seluar jeans dan baju tanpa lengan berwarna kuning cair. Sempat kubaca tulisan yan tertera dibajunya "Don't let me go!" Fuh.....ayat, tak ingat.

Aku rasa sesiapa yang berjaya memiliki hatinya, tentu tidak akan sanggup melepaskannya. Dengan rambut yang panjang mengurai ke paras dada, Michelle jelas manis bermekap tipis. Ada warna biru muda tercalit di penjuru matanya dan sedikit palitan merah jambu terbias dipipi dan dagunya.

"Maaf, kalau awak tersinggung Michelle. Saya tak bermaksud nak kata yang awak....."

"It's ok...it just that i don't agree with ur last statement."

"Which one? Adakah statement yang saya kata 'sama yang berlaku pada penganut Kristian macam awak tu' ?"

"Yup....." Dia kembali memandangku. Sejurus kemudian, dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Ada panggilan masuk. Dia menjawabnya dalam bahasa Cina. Segera aku berdiri sebaik sahaja melihat sebuah tren masuk ke perkarangan stesen. Di dalamnya kelihatan masih banyak ruang kosong. Aku menoleh ke belakang, memandang Michelle untuk memberitahunya yang aku ingin menaiki tren yang tiba akan tetapi Michelle mengangkat tangannya meminta aku menunggu sebentar.

Dan aku pun menunggu, sedang masa terus berlalu, sejajar dengan berlalunya manusia yang sejak dari tadi memenuhi ruang stesen.