
Ada banyak perkara yang bermain dalam minda aku sekarang ini. Namun yang paling besar pengaruhnya adalah perasaan untuk menceburi bidang pelaburan saham akhirat yang dapat menghasilkan pulangan keuntungan bersifat dinamik dan anjal secara berkekalan sampai bila-bila pada diri ini.
Secara kebetulan, pagi tadi aku terima e-mel dari seorang rakan, Mohd Fuzi Sariffulddin mengingatkan aku tentang tiket penerbangan Al-Jenazah (bukan Air-Asia atau MAS yer!) ke negara Barzakh yang sudah pun ditempah sejak dalam rahim lagi akan tiba bila-bila masa jer.
Menyedari hakikat ini telah meningkatkan lagi kehendak diri untuk menyediakan bekalan dan persediaan yang sepatutnya buat menuju ke destinasi yang mustahil untuk digambarkan rupa paras masyarakat dan corak kehidupan yang bakal dilalui di sana walaupun dah banyak kali baca brosur tentangnya dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Yang pastinya, destinasi penerbangan tak terduga itu akan transit sebentar (wallahu'alam) sebelum meneruskan laluan ke negara 'Hereafter' (omputih la pulak).
Satu masa dahulu, aku ingin sangat nak berkongsi ilmu dengan menghasilkan tulisan-tulisan yang membina minda, lalu dicetak, diedar atau ditampal secara percuma buat tatapan masyarakat. Namun, keinginan itu perlahan-lahan dikuburkan kerana memikirkan pencemaran yang bakal berlaku, maklumlah....kalau kita perhatikan selepas Solat Jumaat, bahan bacaan sebegini bersepah di kaki lima masjid dan dibuang begitu sahaja. Tak ramai di kalangan kita yang akan menyimpan dengan baik hasil penulisan ilmiah ini buat rujukan dan bacaan dimasa terluang.
Pada satu masa yang lain pula, timbul keinginan untuk menghasilkan karya-karya sastera seperti, sajak, cerpen atau novel yang berunsurkan Islam buat menyampaikan keindahan Islam, sifat-sifat terpuji milik Rasulullah S.A.W dan para Sahabatnya R.A. Mengambil period masa kini dengan penggunaan watak-wataknya yang terdiri dari kalangan remaja dan muda-mudi yang cintakan Islam, aku bercadang nak menggambarkan kesungguhan mereka dalam membangunkan kerajaan Islam sepanjang kehidupan mereka.
Aku nak membuktikan menerusi watak itu betapa mudah dan praktikalnya Islam dalam membimbing dan membentuk diri mereka berdepan dengan segala macam kejahilan dunia tanpa perlu mengorbankan istana iman yang terbina sejak sekian lama. Dalam masa yang sama juga, aku nak tunjukkan betapa wangian akhlak yang mereka jadikan 'pakaian luar dan dalam' selama ini turut mengharumkan persekitaran dan dibawa terbang angin ke seluruh penjuru alam yang mereka lalui. Akan tetapi, masalah yang sering timbul adalah kehilangan idea dan susutnya iltizam dalam menyambung penulisan sekaligus menamatkan apa yang telah direncanakan.
Namun begitu, kedua-dua minat di atas masih lagi bersisa dalam diri ini. Dek kerana itulah, aku bercadang untuk mewujudkan satu ruangan khas buat menulis segala macam cerita yang aku sukai...cerita yang aku karang sendiri demi menyampaikan keindahan Islam dan keluhuran akhlak Junjungan Besar kita. Mudah-mudahan, ada pengajaran dan nasihat berguna dalam penulisan aku diruang baru ini. Dan aku amat berharap, aku tidak putus asa dalam menamatkan karya yang sudah bermula serta tak malas dalam menghasilkan sebarang penulisan beridentiti Islam ini. :P InsyaAllah.

No comments:
Post a Comment